KESAN REMAJA KEPADA NEGARA.
Oleh: Siti Salwa Binti Zamri
Nilai-22 Mar-Hari ini kita sering kali mendengar dan melihat pelbagai masalah yang timbul dikalangan remaja.Mengikut fakta yang terdapat di dalam penulisan Grunseit dkk 1997 dalam Situmorang 2001, pengaruh informasi yang mudah memancing anak muda adalah apabila seorang remaja berada didalam linkungan umur dari 15 sehingga 20 tahun.
​
Apa yang membimbangkan kita sebagai ibubapa pada hari ini,lebih-lebih lagi dunia yang semakin canggih dengan adanya pelbagai teknologi dihujung jari dimanakah tahap pendidikan yang kita beri kepada mereka.Adakah ianya berhasil ataupun sebaliknya.
Sekuat manakah ketahanan diri seorang remaja masa kini yang sedang menempuh bermacam godaan dunia ?Apakah identiti kita sebagai hamba Allah ?Setelah mengetahui kehidupan yang penuh pesona dan penipuan. Sebagai seorang hamba Allah, manusia haruslah menggunakan akal dan fikiran yang dikurniakan untuk mengelakkan diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan.
Remaja perlulah prihatin dan bertanggungjawab. Jangan terlalu mengikut budaya barat, kegiatan tidak bermoral dan membuang masa dengan melepak. Budaya ini akan merosakkan akhlak remaja yang menjadi harapan negara. Remaja seharusnya mempunyai kesedaran, dan keyakinan untuk menempuh segala cabaran dan godaan dunia. Amatlah rugi bagi seorang remaja yang gemar membuang masa dan alpa dengan keseronokan.
Kesan daripada budaya yang menular pada masa sekarang, akibatnya remaja semakin liar dan sanggup melakukan apa sahaja demi kepuasan. Apa yang lebih menyedihkan lagi pada masa kini terdapat ramai remaja yang telah menghidapi penyakit AIDS akibat hubungan seks secara rambang serta penyalahgunaan dadah dan perkongsian jarum suntikan.
Dimanakah letaknya moral remaja. Daripada perkembangan mutakhir yang diiklankan melalui media elektronik dan media cetak memperlihatkan bahawa remaja Islam lebih fanatik terhadap budaya barat dan budaya negatif yang keterlaluan. Gejala bohsia, bohjan, lepak, homoseks, lesbian, sumbang muhrim, buang anak dan pelbagai lagi antara perbuatan yang dilarang. Sebagai remaja Islam mereka sepatutnya tahu mengenai hukum bagi mengelakkan mereka melakukan perbuatan seperti itu.
Cubalah kita renungkan pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap remaja kini. Sewajarnya, menjadi tanggungjawab remaja untuk mengubah pandangan negatif ini. Jangan biarkan masyarakat memandang rendah dan menganggap remaja tiada harga diri. Remaja adalah tonggak negara dan mencapai wawasan gemilang pada tahun 2020.
Perjuangan remaja belum selesai dan kita adalah harapan negara.Jiwa yang halus mudah sengsara apabila terluka. Oleh itu janganlah melukakan hati insan yang selembut sutera. Perasaan yang dapat dikawal akan memperlihatkan seseorang itu ceria, tapi perasaan yang tak dapat dikawal akan menyeksakan diri sendiri. Insan yang lemah sentiasa dilanda masalah dan sukar untuk mengatasi masalah tersebut. Dalam keadaan yang tertekan seseorang insan tidak dapat mengawal perasaan dan dia akan menangis.Kesedihan dapat menambahkan lagi kepiluan hati apabila dia disisihkan oleh kawan sejati. Keikhlasan dan kajujuran akan mengeratkan lagi sesuatu perhubungan. Adakalanya kemarahan boleh membuatkan seseorang itu kecewa dan menjadi tidak tentu hala.
Jangan kamu terlalu memandang rendah dan hina pada diri seseorang kerana Allah berkuasa mengubah hati kita. Dan jangan menyangka diri kita sahaja yang lebih baik dan mulia dari orang lain, kerana akan wujud sifat riak dan sombong sesama insan. Ramai insan yang sedar bahawa setiap perbuatan yang mereka lakukan akan mendapat balasannya. Tetapi apalah gunanya kesedaran jika tidak disedari dengan amalan dan penghayatan.
Bila kamu dapat menguasai nafsu kamu, ia akan tunduk pada dirimu dan boleh dididik ke arak kebaikan tetapi jika dirimu dikuasai oleh nafsu, dirimu akan diperalatkan dan mudah dipesongkan ke arah kejahatan Setiap kesalahan yang anda lakukan seharusnya diiringi dengan kekesalan dan kesedaran agar kamu tidak digolongkan dalam orang yang beroleh kerugian.
Kita seringkali mengeluarkan keluhan andainya apa yang dihajati tidak berhasil tetapi sedarilah seharusnya kita bersyukur dan ingatlah bahawa tidak semua insan itu berjaya mendapat apa yang mereka hajati.