top of page

TAWAKAL SATU IBADAH TERPUJI

 

 

 

 

 

 

 

Oleh : Farisha Binti Hussin

 

Berserah diri atau tawakal dengan sepenuhnya kepada Allah s.w.t dalam sesuatu kesusahan,merupakan satu ibadah yang terpuji.Dalam menyelusuri kehidupan,hidup kita tidak sunyi dari berdepan dengan masalah,namun sebagai seorang mukmin yang beriman,kita hendaklah sentiasa berusaha dan berikhtiar dalam mencari jalan penyelesaian kerana masalah tidak akan selesai jika kita hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh.

 

Dalam islam,tawakal membabitkan dua proses yang saling berkait,iaitu penyerahan nasib diri kepada Allah dari satu sudut,dan penggunaan seluruh tenaga fizikal,mental dan rohani untuk mengubah keadaan diri sendiri dari sudut yang lain.Orang yang tawakal selalu menggantungkan diri dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah.Mereka sentiasa berlapang dada dan tidak resah bila dibelit masalah.Mereka juga tidak cepat berputus asa,sebaliknya sentiasa yakin dan percaya kepada kemampuan diri sendiri setelah segala usaha dan ikhtiar dilakukan.

 

Tawakal juga merupakan satu ibadah hati yang paling utama dan akhlak iman yang paling agung.Seorang ulama menyatakan tawakal ialah percaya kepada Allah dan hanya kepada Dialah kita mengharapkan segala sesuatu,bukan kepada siapa pun.Teringat sebuah kisah yang berlaku di antara seekor semut di zaman Nabi Sulaiman yang merupakan satu-satunya nabi yang memperolehi keistemewaan dari Allah s.a.w sehingga boleh memahami bahasa binatang.Menurut sejumlah riwayat,pernah suatu hari Nabi Sulaiman berkata kepada seekor semut, “Wahai semut! Berapa banyak engkau perolehi rezeki dari Allah dalam waktu satu tahun? “Sebesar biji gandum,” jawabnya.Kemudian Nabi Sulaiman memberi sebiji gandum lalu memeliharanya dalam sebuah botol.Setelah genap satu tahun,baginda membuka botol tersebut untuk melihat nasib si semut.Namun,didapati si semut hanya memakan sebahagian biji gandum itu. “ Mengapa engkau hanya memakan sebahagian dan tidak menghabiskannya?” Tanya Nabi Sulaiman.

 

“ Dahulu aku bertawakal dan pasrah diri kepada Allah,” jawab si semut. “Dengan tawakal kepada-Nya aku yakin bahawa Dia tidak akan melupakanku.Ketika aku pasrah kepadamu,aku tidak yakin apakah engkau akan ingat kepadaku pada tahun berikutnya sehingga memperolehi sebiji gandum lagi atau engkau akan lupa kepadaku.Kerana itu,aku harus tinggalkan sebahagian sebagai bekal tahun berikunya.Melalui kisah di atas,dapat kita simpulkan betapa semut itu lebih yakin kepada jaminan Allah ketika di luar botol berbanding “ jaminan” manusia ketika berada berada di dalam botol.Untuk menghadapi kemungkinan itulah,semut tersebut mengambil langkah berjimat-cermat yakni dengan memakan hanya separuh sahaja daripada apa yang diperlukan dalam masa setahun supaya jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan,ia mampu bertahan kerana masih ada baki makanan yang boleh digunakan.

 

Kesimpulannya,inilah sifat tawakal dan ikhtiar yang boleh kita ambil sebagai ibrah dan pengajaran yang sangat bermanfaat melalui kisah Nabi Sulaiman dan semut.Dalam al-Quran Allah berfirman bermaksud:Dan percayalah (tawakallah)dirimu kepada Allah,jika kamu betul-betul beriman.(Surah al-Maidah ayat 23).Maka dengan itu,Bergantung dan bertawakallah hanya kepada Allah dengan keupayaan sendiri dan jangan sesekali bergantung harap kepada sesama makhluk.

bottom of page